SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) perlu bangkit bagi menarik semula keyakinan rakyat Selangor terhadap parti itu ekoran kegagalan parti pembangkang menguruskan kemelut politik di negeri ini.

Itu yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau berpandangan bahawa BN khususnya di Selangor perlu berbuat sesuatu bagi memudahkan parti itu menguasai semua pentadbiran negeri ini sekaligus membawa perubahan yang baik untuk rakyat.

“Kita mahu BN bangkit semula daripada situasi politik sebelum ini yang telah menyebabkan terlepasnya kuasa yang pernah dipegang BN di Selangor. Ia perlu dilakukan dengan usaha yang berterusan dan diperkukuhkan supaya rakyat mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi semula kepada BN dan UMNO di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan tiga Adun parti itu kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagai Exco walaupun tahaluf siyasi dengan PKR telah tamat.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dibuat selaras dengan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam selain menyatakan seseorang Exco selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan Sultan Selangor mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. – End.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY